Thursday, October 9, 2008

Kecoh - Pelajar Dilarang Sertai Forum AUKU

(Berita ini diambil dari laman web Malaysiakini.com)

Jika anda punya password anda boleh baca terus di:
http://www.malaysiakini.com/news/88749

Beberapa puluh mahasiswa dihalang daripada menyertai forum yang membincangkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi.Mereka dilarang masuk oleh pengawal keselamatan kerana tidak mematuhi kod pakaian pelajar universiti berkenaan dan tidak menggantung kad pelajar masing-masing. Forum tersebut hanya untuk pelajar UKM sahajaSebahagian daripada mereka yang terdiri daripada pelajar UKM, dibenarkan masuk kemudiannya selepas mereka balik menukar pakaian.

Manakala penganjur program itu - Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi - pula terpaksa membelikan tali kad untuk membolehkan pelajar terbabit menggantung kad pelajar masing-masing.Bagaimanapun, sumber-sumber yang menyaksikan kejadian itu memberitahu Malaysiakini bahawa sebahagian lagi yang terdiri pelajar dari universiti lain, tidak dibenarkan menghadiri forum tersebut.Sejurus kemudian, pengawal keselamatan kelihatan ‘menghalau' mereka yang tidak dibenarkan masuk itu, supaya beredar dari Dewan Anuar Mahmud -tempat forum itu berlangsung. Malaysiakini difahamkan sebahagian mereka mewakili Gerakan Mansuhkan AUKU (GMMA).

Ahli penal bagi forum tersebut terdiri daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron; Pengarah Strategik PKR, Saifudin Nasution, Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Abdullah Karim dan seorang pensyarah undang-undang universiti itu. Di dalam dewan pula, mantan Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syeikh Omar Ali bangun meminta timbalan menteri berkenaan membenarkan semua pelajar masuk untuk menghadiri dan menyertai forum tersebut.Ketika itu forum tersebut baru 10 minit bermula dan Idris sedang bercakap menerangkan mengenai pindaan terhadap AUKU. Forum itu bermula jam 9 malam.Bagaimanapun, Syeikh Omar telah dikasari apabila bahagian kolar bajunya direntap oleh seorang pegawai keselamatan UKM.Selepas itu, empat lagi anggota pengawal keselamatan, termasuk seorang pegawai, datang lalu menarik dan memaksa Syeikh Omar supaya duduk.

Ternyata ahli-ahli panel, termasuk Idris sendiri, kelihatan terperanjat dengan kejadian tersebut.Manakala pengatur bicara forum tersebut meminta Syeikh Omar supaya jangan menganggu perjalanan majlis tersebut.Dalam reaksinya pula, Idris berkata beliau tidak berbuat apa-apa kerana beliau bukan penganjur forum tersebut, dan meneruskan ucapannya.Kemudiannya, menurut sumber-sumber itu lagi, Saifuddin dalam ucapannya berkata bahawa ketika beliau di universiti, para pelajar tidak dihalang untuk menghadiri forum seumpama itu. "Beliau juga menyokong supaya pelajar-pelajar terbabit dibenarkan masuk untuk menghadiri forum tersebut," kata sumber-sumber itu lagi.Menurut sumber-sumber itu lagi, tindakan melarang pelajar universiti luar menghadiri forum tersebut, dipercayai dibuat atas arahan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Dr Mohd Wahid Samsudin.

"Arahan tersebut diputuskan dalam mesyuarat tengah hari semalam antara TNC, pihak keselamatan, pegawai HEP walaupun dibantah oleh wakil mahasiswa," kata sumber-sumber itu lagi.

Sumber-sumber dalaman pihak penganjur dan beberapa saksi mengesahkan perkara itu. Forum berjudul "Pindaan AUKU: Mahasiswa menuju ke era baru" tamat hampir jam 11 malam. Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Syeikh Omar berkata beliau tidak puas hati kerana Idris cuba mengelak dengan berkata "perkara ini di luar bidangnya kerana beliau bukan penganjur". "Sebagai timbalan menteri pengajian tinggi, kita tidak boleh terima jawapan itu," katanya lagi. Syeikh Omar menjelaskan pegawai keselamatan yang menarik kolar bajunya "bersongkok, tidak berkaca mata, gemuk dan tinggi".

Tuesday, August 26, 2008

BUKA UiTM UNTUK SEMUA!

Tabik hormat untuk mahasiswa UiTM yang berani berdemontrasi dan turun ke jalanraya berarak berbatu jauhnya dari pusat pengajian mereka ke pejabat kerajaan Negeri Selangor. Semangat berani turun ke jalanraya ini perlu dicontohi oleh mahasiswa-mahasiswa di universiti-universiti lain. Demontrasi dan perarakan jalanraya yang dilakukan oleh mahasiswa UiTM itu adalah sebagai protes terhadap kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mencadangkan agar UiTM membuka kuota sebanyak 10% kepada kaum bukan-bumiputera. Kami di PROMIS (Pergerakan Progresif Mahasiswa Islam) hormat dan menyokong penuh tindakan mahasiswa UiTM turun ke jalanraya dan berdemontrasi ini.

Tindakan turun ke jalanraya dan berdemontrasi ini perlu dijadikan budaya mahasiswa bukan sahaja sebagai protes terhadap Menteri Besar Selangor tetapi juga terhadap apa sahaja yang dirasakan salah, zalim, korup, tidak betul dan tidak adil khususnya ketidakadilan yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa termasuklah Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, NC, TNC, parti pemerintah mahu pun parti pembangkang.

Tetapi hormat dan sokongan kami kepada mahasiswa UiTM yang turun berdemontrasi itu hilang bila kita membicarakan tentang isu yang menjadi bantahan dan protes mereka. Mahasiswa UiTM turun ke jalanraya untuk membantah cadangan untuk membuka 10% tempat di UiTM kepada kaum bukan-bumiputera. Kami di PROMIS bukan sahaja tidak bersetuju dengan mahasiswa UiTM tersebut tetapi kami juga tidak bersetuju dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kami di PROMIS berpendirian bahawa UiTM perlu dibuka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan tanpa mengira kuota. Hanya ada dua perkara sahaja yang sepatutnya menjadi kriteria di dalam pemilihan kemasukan pelajar ke UiTM (atau mana-mana universiti tempatan yang lain). Kriteria yang paling utama ialah merit. Mahasiswa yang dipilih wajib mempunyai merit. Di dalam ajaran Islam sendiri ditegaskan bahawa setiap muslim wajib berusaha keras untuk menjadi yang terbaik termasuklah di dalam bidang pendidikan dan keilmuan. Merit ini sangat-sangat penting untuk melahirkan mahasiswa yang benar-benar berkualiti, berfikiran kritis dan kompetitif. Kalau kemasukan ke universiti tidak berdasarkan merit, apa yang akan lahir adalah sampah. Sukar untuk menggilap sampah di dalam tempoh yang terlalu singkat (3-4 tahun) di universiti. Kerana itu merit adalah kriteria yang paling utama yang harus menjadi sandaran di dalam pemilihan kemasukan ke UiTM (atau mana-mana universiti tempatan yang lain).

Kriteria kedua yang juga wajib menjadi pertimbangan untuk pemilihan kemasukan ke universiti ialah kedudukan sosio-ekonomi tanpa mengira kaum. Mereka yang datang dari kelas bawahan dan keluarga susah baik di bandar atau di kampung, mereka yang datang dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah, mereka yang datang dari kawasan pedalaman dengan kemudahan pendidikan yang teruk dan tidak mencukupi dan mereka yang datang dari kondisi sosio-ekonomi yang dhaif tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli dan pelbagai etnik lain perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya di dalam pemilihan kemasukan ke UiTM (atau mana-mana universiti tempatan yang lain).

Ini sangat penting untuk dilaksanakan supaya peluang yang adil dan saksama (bukan sama) dapat disediakan kepada mereka yang datang dari keluarga yang berkedudukan sosio-ekonomi rendah ini. Namun begitu kriteria kedua ini perlulah bersandarkan kepada kriteria utama iaitu merit. Suatu dasar dan mekanisme pelaksanaan yang adil dan saksama perlu dicari untuk mencari keseimbangan antara kriteria merit dan kriteria kedudukan sosio-ekonomi agar kualiti mahasiswa tidak dikorbankan dan pada masa yang sama mereka yang berada di kedudukan sosio-ekonomi yang rendah tidak diabaikan.

Dasar yang sebegini jika dijadikan teras pemilihan di dalam kemasukan mahasiswa ke UiTM (atau mana-mana universiti tempatan yang lain) adalah sangat-sangat menepati nilai-nilai Islam yang menekankan tentang peri pentingnya kelayakan atau merit, keadilan, kesaksamaan dan keprihatinan terhadap golongan miskin, susah, berpendapatan rendah dan kelas bawahan tanpa mengira kaum. Memilih berdasarkan kaum cenderung tidak adil kerana tidak semua kaum bumiputera miskin dan tidak semua kaum bukan-bumiputera kaya. Ada kaum bumiputera yang kaya raya dan ada kaum bukan-bumiputera yang miskin dan dhaif kehidupannya. Justeru itu, pemilihan berdasarkan kaum hanya akan mendiskriminasikan kaum bukan-bumiputera yang mempunyai merit dan datang dari keluarga miskin. Adakah Islam menghalalkan diskriminasi berasaskan kaum seperti ini? Adakah dasar memilih hanya kaum bumiputera untuk masuk ke UiTM dan mengetepikan kaum bukan-bumiputera itu suatu dasar yang Islamik?

Kami di PROMIS berpendirian bahawa dasar pemilihan kemasukan mahasiswa ke UiTM yang berasaskan kepada satu-satu kaum semata-mata (bumiputera sahaja) adalah suatu dasar yang bersifat diskriminasi terhadap kaum lain (khususnya kaum bukan-bumiputera yang miskin dan mempunyai merit) dan melanggar prinsip-prinsip keadilan sejagat tanpa mengira kaum yang diperjuangkan oleh Islam. Kami ingin menegaskan di sini bahawa Islam bukan agama yang bersifat diskriminatif. Tindakan mahasiswa UiTM yang membantah kemasukan kaum bukan-bumiputera ke UiTM adalah bukan tindakan yang mencerminkan nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan yang menjadi intipati ajaran Islam. Memandangkan Islam tidak pernah menganjurkan diskriminasi kaum atau etnik, maka UiTM haruslah dibuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, etnik atau agama dan kemasukannya pula haruslah berlandaskan merit dan kedudukan sosio-ekonomi.

Perlembagaan Persekutuan negara kita juga tidak pernah menganjurkan diskriminasi kaum. Kekeliruan tentang Perlembagaan Persekutuan khususnya mengenai perkara 153 (yang dikatakan memberi hak keistimewaan yang mutlak kepada kaum Melayu/Bumiputera) ini sering timbul kerana ramai dari kita tidak pernah membaca Perlembagaan Persekutuan. Jika kita membaca perkara 153 secara keseluruhan dengan lebih teliti dan mendalam, kita akan mendapati bantuan atau keistimewaan yang diberikan oleh perkara 153 terhadap kaum Melayu atau bumiputera bukanlah bersifat mutlak dengan menafikan peluang kaum bukan-bumiputera. Di dalam memberi bantuan atau keistimewaan terhadap kaum bumiputera, peluang kaum bukan-bumiputera untuk maju tidak boleh dinafikan.

Perkara 153 (1) (2) dan (3) yang memberi keistimewaan atau perezapan terhadap kaum bumiputera di dalam 3 bidang iaitu perkhidmatan awam, perniagaan dan pendidikan haruslah dibaca dengan 153 (4) yang menyatakan dengan jelas bahawa di dalam melaksanakan perkara 153 (1) (2) dan (3) Yang Di Pertuan Agong tidak boleh melucutkan atau menafikan peluang orang lain di dalam bidang perkhidmatan awam, perniagaan dan juga pendidikan. Justeru itu, jika kita mengambil intipati perkara 153 secara keseluruhannya di dalam kes UiTM ini, maka akan terserlah bahawa tindakan untuk tidak membenarkan kaum bukan-bumiputera memasuki UiTM adalah suatu tindakan yang bukan sahaja melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan tetapi juga mencabar persefahaman yang telah dibuat oleh pendiri-pendiri negara kita yang terdahulu.

Ramai mahasiswa khususnya mahasiswa Melayu yang berpandangan bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi hak keistimewaan di dalam pendidikan kepada kaum bumiputera. Benarkah ada sesuatu yang dinamakan “hak keistimewaan” di dalam Perlembagaan Persekutuan? Ramai dari kita yang menjadi pak turut mengiyakan apa yang orang lain kata tanpa kita sendiri menyemak kesahihannya. Justeru itu silalah beli Perlembagaan Persekutuan (harganya cuma RM10.00 sebuah) dan baca perkara 153 dengan teliti.

Perkara 153 tidak ada menyebut langsung tentang “hak keistimewaan Melayu”. Apa yang ada hanyalah “kedudukan istimewa”. “Hak” bermakna mesti dapat, tetapi “kedudukan” di sini membawa maksud kedudukan di dalam konteks sejarah, di mana di waktu perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini digubal kedudukan orang Melayu sebagai kaum pribumi pada ketika itu, kedudukan sosio-ekonominya rata-rata ketinggalan dan keterbelakang dan justeru itu, perlu diberi bantuan sebagai usaha untuk memastikan orang Melayu pada ketika itu tidak ketinggalan baik dari segi ekonomi, pekerjaan, mobiliti sosial mahu pun pendidikan. “Kedudukan” di sini tidak bermakna mesti dapat atau untuk selama-lamanya kerana “kedudukan” sudah tentu boleh berubah. Jika sekiranya, Perlembagaan Persekutuan menginginkan bantuan terhadap orang Melayu ini bersifat tetap dan selama-lamanya, sudah tentu perkataan “hak” digunakan tetapi yang nyata Perlembagaan Persekutuan tidak menggunakan perkataan “hak” sebaliknya menggunakan perkataan “kedudukan” yang memberi erti boleh berubah dan bukan untuk selama-lamanya!

Menyekat kemasukan kaum bukan-bumiputera ke UiTM di zaman sekarang di tahun 2008 ini bukan sahaja menyalahi semangat Perlembagaan Persekutuan tetapi juga merupakan tindakan yang terkebelakang dan memalukan kaum bumiputera khususnya kaum Melayu itu sendiri. Memalukan kerana UiTM itu didirikan hasil dari peluh, keringat, tenaga dan cukai yang disumbangkan oleh setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. UiTM tidak dibina hanya dengan duit cukai kaum bumiputera sahaja. Gaji NC, TNC, pensyarah-pensyarah, staf-staf dan pekerja UiTM tidak dibayar dengan duit cukai kaum bumiputera cuma. Begitu jugalah dengan kemudahan pendidikan dan yuran yang murah yang dinikmati oleh mahasiswa UiTM (termasuklah 8,000 orang yang berdemontrasi tempoh hari) disubsidikan bukan hanya dengan duit cukai kaum bumiputera semata-mata.

Malahan kemungkinan besar duit cukai yang digunakan untuk membina UiTM, membayar gaji NC, TNC, pensyarah-pensyarah, staf-staf UiTM dan mensubsidikan kemudahan pendidikan dan yuran murah yang dinikmati oleh mahasiswa UiTM, sebahagian besarnya datang dari duit cukai yang disumbangkan oleh kaum bukan bumiputera! Mahasiswa-mahasiswa UiTM perlu sedar bahawa mereka dapat masuk ke UiTM dengan subsidi yuran yang murah adalah kerana cukai yang turut disumbangkan oleh kaum bukan-bumiputera! Justeru itu, adakah adil kaum yang turut menyumbang kepada kewujudan UiTM dan keberlangsungan UiTM itu dinafikan sama sekali peluangnya untuk memasuki UiTM ? Adakah ajaran Islam menghalalkan perkara seperti ini berlaku ? Adakah terdapat sebarang nas Al-Quran dan Sunnah Nabi yang sahih yang membenarkan perkara seperti ini wujud ? Jelas sekali jawapan untuk ketiga-tiga soalan ini adalah – TIDAK ! Jika tidak adil dan tidak ada sebarang nas baik di dalam Al-Quran mahu pun Sunnah Nabi yang sahih yang menyokong dasar seperti ini, kenapakah dasar yang sangat tidak Islamik ini mesti diteruskan?

Sekali lagi kami di PROMIS ingin menegaskan bahawa tindakan menyekat kemasukan kaum bukan-bumiputera ke UiTM adalah tindakan yang bukan sahaja tidak selari dengan konsep kehidupan bernegara moden yang mana setiap warganegaranya mesti dilayan secara adil dan saksama malahan sekatan ini juga telah jauh tersasar dari semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang telah dibincangkan di atas. Dan jika kita tinjau dari sudut Islam jelas bahawa tindakan menyekat kemasukan kaum bukan-bumiputera ke UiTM adalah suatu tindakan yang bersifat diskriminasi dan di dalam Islam tidak ada diskriminasi baik atas nama kaum, etnik mahupun agama. Amat sayang sekali mahasiswa Melayu-Islam yang berdemontrasi tempoh hari di Shah Alam itu gagal untuk memahami nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan yang universal yang merentasi kaum dan etnik yang menjadi intipati kepada agama yang dianuti oleh mereka sendiri iaitu agama Islam. Ketidakfahaman mereka tentang kesejagatan Islam itu mungkin kerana mereka telah menyempitkan Islam yang universal menjadi Islam versi Melayu UiTM.

Perjuangan Islam bukan semata-mata untuk orang Melayu atau orang Islam sahaja tetapi untuk seluruh manusia sejagat. Justeru itu, demi nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan yang menjadi teras kepada ajaran Islam, kami di PROMIS mengajukan supaya UiTM dibuka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, etnik atau agama tetapi berdasarkan kepada nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan yang berlandaskan merit dan kedudukan sosio-ekonomi.


Email: progresif_islam@yahoo.com
Blog: http://www.progresifislam.blogspot.com

Monday, August 25, 2008

KRITIK TERHADAP MAJLIS PEGUAM (BAR COUNCIL)

Penganjuran program berbentuk forum, dialog atau perbincangan yang melibatkan isu-isu “sensitif” di Malaysia ini memerlukan beberapa pendekatan yang halus dan berseni. Ini terpaksa dilakukan kerana masyarakat Malaysia khususnya di tingkat akar-umbi selama 51 tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional tidak dibiasakan dengan proses perbincangan antara-kaum atau antara-agama.

Oleh kerana itu, soalan yang penting untuk kita fikirkan ialah bagaimana untuk kita menganjurkan program perbincangan atau dialog tentang isu-isu yang dikatakan “sensitif” yang melibatkan kepentingan kaum dan agama yang berbeza di dalam kondisi masyarakat yang tidak terbiasa dengan proses perbincangan seperti ini?

Kami fikir inilah persoalan yang tidak difikirkan dengan mendalam oleh Majlis Peguam ketika mereka menganjurkan forum perbincangan tentang perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 9 Ogos yang lalu. Jika perkara ini difikirkan dengan mendalam, kemungkinan pendekatan yang lebih efektif dapat diambil bagi memastikan forum tersebut dapat dijalankan dengan licin dan tidak tergendala oleh tuntutan-tuntutan tidak demokratik yang diminta oleh mereka yang berdemontrasi di luar bangunan Majlis Peguam pada hari tersebut.

Apakah perkara-perkara yang perlu difikirkan di dalam menganjurkan program perbincangan yang melibatkan perbahasan dan dialog tentang isu-isu yang dikatakan “sensitif” ini? Terdapat 2 perkara utama yang perlu difikirkan. Selebihnya adalah perkara-perkara yang bersifat sampingan yang akan memberi sokongan kepada kelicinan penganjuran dan perlaksanaan program perbincangan yang akan diadakan.

Dua perkara utama pada pandangan kami yang perlu difikirkan ialah pertamanya soal bahasa yang digunakan. Bahasa yang digunakan haruslah bersifat inklusif. Apabila kita membincangkan tentang isu-isu yang melibatkan agama Islam di Malaysia ini, perbincangan perlu dibuat di dalam bahasa kebangsaan (bahasa Malaysia) iaitu bahasa perantara atau bahasa yang dapat menjambatani pelbagai kaum, etnik dan agama yang ada di Malaysia ini. Tambahan pula bahasa Malaysia adalah bahasa pertuturan utama bagi orang Melayu-Islam di Malaysia ini.

Bahasa Malaysia bukan sahaja menjadi bahasa pertuturan utama bagi orang Melayu-Islam di Malaysia ini tetapi juga ia merupakan bahasa penulisan, bahasa komunikasi, bahasa perbahasan, bahasa perdebatan, bahasa penghujahan, bahasa wacana dan bahasa artikulasi utama buat orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia. Memang terdapat orang Melayu Islam di Malaysia yang lebih selesa bertutur di dalam Bahasa Inggeris tetapi jumlah mereka tidak ramai.

Kelompok Melayu Islam yang bertutur di dalam Bahasa Inggeris tidak boleh dijadikan ukuran yang bersifat representatif kerana jumlah mereka yang sangat kecil. Lagi pula kebanyakan mereka ini terdiri daripada kelas menengah Melayu yang bertutur bahasa Inggeris (English speaking Malay middle-class) yang tentunya tidak dapat dijadikan ukuran yang mewakili masyarakat akar umbi Melayu-Islam yang rata-ratanya berbahasa Malaysia.

Bahasa Malaysia bukan sahaja bahasa utama untuk masyarakat Melayu-Islam akar-umbi tetapi juga bahasa utama organisasi-organisasi masyarakat sivil, NGO-NGO dan organisasi parti politik Melayu-Islam di Malaysia ini. Menggunakan bahasa selain dari bahasa Malaysia akan meminggirkan sebahagian besar masyarakat Melayu-Islam di dalam program dan juga proses perbincangan atau dialog yang ingin dijalankan.

Di dalam proses perbincangan dan dialog, berupaya memahami pandangan yang diajukan dan berupaya mengartikulasi pandangan sendiri dengan baik adalah kunci kepada proses perbincangan dan dialog yang berkesan. Tidak ada gunanya mengadakan perbincangan, forum atau dialog di dalam bahasa yang sebahagian besar orang Melayu-Islam tidak dapat memahami dengan baik dan tidak berupaya untuk mengartikulasi pandangan mereka dengan sepenuhnya.

Jika topik yang dibincangkan atau didialogkan itu tidak ada kena mengena dengan orang Melayu atau agama Islam di Malaysia, mungkin bahasa yang lain selain bahasa Malaysia boleh digunakan. Tetapi jika sekiranya topik yang ingin dibincangkan atau didialogkan itu ada kena mengena dengan orang Melayu dan Islam di Malaysia, maka penggunaan bahasa yang yang lebih mudah untuk mereka (Orang Melayu-Islam) fahami dan artikulasikan, haruslah menjadi pertimbangan utama pihak-pihak yang ingin menganjurkan program, forum atau dialog seumpama itu.

Namun, satu persoalan lain akan timbul. Jika bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia digunakan, kemungkinan besar kaum bukan-Melayu pula yang mengalami masalah untuk memahami dan mengartikulasi. Permasalahan ini memang agak sukar untuk diselesaikan dan merupakan suatu cerminan di mana bahasa menjadi penghalang kepada proses komunikasi, pertukaran pandangan, perbincangan dan dialog yang berkesan. Amat menyedihkan setelah 51 tahun merdeka, kita masih belum punya medium perantara komunikasi yang dapat menjambatani hubungan antara-kaum dan antara-agama yang lebih rapat dan lebih memahami.

Mempunyai satu bahasa perantara yang setiap kaum, etnik atau agama selesa menggunakannya, memahaminya dan mengartikulasinya sangat-sangat penting di dalam menjambatani hubungan antara-kaum atau antara-agama khususnya di dalam proses perbincangan atau dialog yang melibatkan isu-isu yang dikatakan “sensitif” ini. Jika kita tidak dapat mencari satu bahasa perantara komunikasi yang mana setiap kaum, etnik atau agama selesa untuk menggunakannya, maka solusinya mungkin dengan menyediakan penterjemah.

Walaupun proses penterjemahan pastinya akan mengganggu kelicinan perbincangan dan dialog serta kemungkinan besar idea yang ingin disampaikan kehilangan intipatinya di dalam proses penterjemahan, tetapi di dalam situasi di mana tidak ada bahasa perantara yang semua kaum dapat memahami dan mengartikulasi dengan baik, menyediakan penterjemah adalah jalan yang perlu diambil.

Perkara yang kedua yang perlu difikirkan ialah soal pembicara yang diundang. Di dalam forum, perbincangan atau dialog, tentulah akan ada pembicara-pembicara jemputan yang dipanggil untuk mengartikulasi idea dan pandangan mereka. Pemilihan pembicara haruslah bersifat inklusif. Jangan hanya memanggil pembicara yang kita tahu akan mendukung idea dan pandangan kita semata-mata. Pilihlah juga pembicara-pembicara yang idea dan pandangannya berseberangan dengan kita. Jangan hanya memilih pembicara-pembicara dari institusi Islam yang formal seperti JAWI, JAKIM atau IKIM semata-mata tetapi pembicara-pembicara yang mewakili organisasi-organisasi Islam berbasiskan massa (mass based) dan berpengaruh di kalangan umat Islam di Malaysia, haruslah dipilih sama.

Terdapat tiga organisasi Islam di Malaysia yang sudah pun mapan (well-established), berbasiskan massa dan cukup berpengaruh di kalangan umat Islam di Malaysia. Tiga organisasi ini ialah PAS, ABIM dan JIM. Keanggotaan mereka bersifat massif hingga ke akar umbi dan merangkumi setiap negeri di Malaysia. Memang ada organisasi-organisasi Islam Malaysia yang selain dari tiga yang dinyatakan di atas tetapi organisasi-organisasi Islam yang lain ini tidak berpengaruh dan tidak berbasiskan massa.

Justeru itu, tindakan tidak mengundang wakil ketiga-tiga organisasi Islam yang sudah mapan, besar dan berpengaruh ini sebagai sebahagian daripada pembicara, bererti kita telah menyisihkan sebahagian besar umat Islam di dalam proses perbincangan dan dialog yang melibatkan isu-isu yang menjadi keprihatinan mereka.

Selain dari dua perkara utama yang dibentangkan di atas, terdapat 4 perkara lain yang bersifat sampingan yang akan membantu melicinkan lagi proses menganjurkan program perbincangan seperti ini jika dua perkara di atas sudah pun dipenuhi.

Pertamanya, kondisi politik semasa. Kondisi politik semasa ini harus dibaca dengan teliti. Jika salah baca, kemungkinan besar niat baik kita untuk mengadakan dialog dan perbincangan akan diputar-belitkan khususnya oleh parti pemerintah dan NGO-NGO yang mendukungnya melalui media-media massa berbahasa Malaysia yang dimiliki oleh mereka. Ini adalah kerana daripada pola-pola tingkahlaku parti pemerintah di masa yang lepas terdapat kecenderungan parti pemerintah untuk mengeksploitasi isu-isu yang berkaitan dengan etnik dan agama di waktu kekuasaan parti pemerintah tergugat atau di waktu mereka menghadapi krisis kepimpinan, konflik dalaman atau pun kekalahan politik.

Di waktu-waktu seperti itu, isu-isu etnik dan agama akan diperguna, dieksploitasi dan dimanipulasi oleh mereka sepenuhnya samada untuk mengalih perhatian masyarakat dari isu yang sebenar atau pun meraih kembali sokongan dari masyarakat Melayu-Islam. Justeru itu, kondisi politik semasa ini perlulah diperhatikan secara menyeluruh dan diteliti dengan mendalam agar kita tidak terperangkap dengan kondisi politik semasa yang memberi jalan kepada parti pemerintah untuk mempergunakannya di dalam merancang helah dan tipu-daya bagi memecah-belah dan melaga-lagakan kita.

Keduanya, susunan ayat yang membentuk tajuk forum, perbincangan atau dialog haruslah bersifat mesra orang Islam di Malaysia. Susunan ayat yang membentuk tajuk sangat penting supaya orang awam khususnya orang Islam tidak terkeliru, salah jangka atau buruk sangka terhadap program yang ingin dijalankan. Memandangkan isu yang ingin kita bincangkan atau dialogkan ini merupakan isu yang melibatkan “sensitiviti” orang Islam di Malaysia, pembikin tajuk harus pandai menyusun ayat-ayat yang membentuk tajuk agar tajuknya dilihat mesra orang Islam, inklusif dan tidak berbentuk provokasi.

Ketiganya adalah berhubung dengan publisiti di media massa. Publisiti yang bersifat informatif khususnya penjelasan tentang tujuan program tersebut diadakan dan pembicara-pembicara yang akan membincangkan isu yang akan diketengahkan perlu dibuat secara meluas khususnya di semua media massa berbahasa Malaysia. Ini sangat penting dilakukan kerana kebanyakan orang Melayu-Islam di Malaysia membaca media massa bahasa Malaysia. Jika terdapatnya publisiti yang positif di media massa bahasa Malaysia, kemungkinan besar kerisauan dan kegusaran orang Islam tentang perbincangan seperti ini dapat kita redakan.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa media massa berbahasa Malaysia tidak akan menyiarkan publisiti atau pun memutar-belitkan publisiti menjadi negatif. Jika ini menjadi kerisauan, kita punya saluran media massa berbahasa Malaysia yang lain seperti Harakah, Suara Keadilan atau suratkhabar tabloid Sinar. Begitu juga dengan blog-blog dan laman-laman web berbahasa Malaysia yang lain yang banyak di internet turut boleh digunakan untuk menyebarluaskan publisiti positif tentang program yang ingin dianjurkan.

Keempat dan terakhirnya ialah soal tempat (venue) program perbincangan atau dialog ini akan dijalankan. Sebaik-baiknya tempat perbincangan atau dialog seperti ini haruslah tempat yang neutral. Menggunakan tempat yang mana di dalam fikiran orang awam khususnya orang Islam, sudah ada tanggapan atau persepsi negatif terhadap penyewa atau pemilik tempatnya mungkin hanya akan menambah prasangka dan buruk sangka. Justeru itu, untuk meminimakan persepsi negatif, prasangka dan buruk sangka orang awam khususnya orang Islam, tempat yang neutral mungkin perlu dicari. Tidak ada tempat lain yang lebih neutral selain dari universiti. Ini adalah kerana universiti adalah pusat pencarian kebenaran. Sebagai sebuah institusi pencari kebenaran universiti sepatutnya menjadi tempat di mana perbincangan, dialog dan juga forum seperti ini diadakan.

Namun begitu, universiti-universiti di Malaysia ini setelah 51 tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional cenderung menjadi alat Barisan Nasional bukan pusat pencarian kebenaran yang rasional. Justeru itu, jika universiti keberatan untuk menjadi tempat di mana perbincangan, dialog dan forum seperti ini diadakan, maka tempat-tempat lain yang neutral dan tidak dipersepsikan negatif oleh orang awam khususnya orang Islam perlu dicari.

Empat perkara di atas sepertimana yang telah dibentangkan hanyalah merupakan perkara sampingan yang akan mempermudahkan lagi proses penganjuran program perbincangan atau dialog tentang isu-isu yang dikatakan “sensitif” itu. Perkara yang paling pokok sepertimana yang telah dihuraikan di atas ialah perkara yang berhubung dengan bahasa yang inklusif dan juga pembicara-pembicara yang juga inklusif. Jika kedua-dua perkara utama ini dapat dipenuhi dan disokong pula oleh empat perkara sampingan yang telah dijelaskan di atas, kami yakin penganjuran program perbincangan atau dialog yang melibatkan isu-isu yang dikatakan “sensitif” ini di masa hadapan, akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan di dalam suasana yang lebih inklusif, harmoni, sopan dan bertamadun.

Email: progresif_islam@yahoo.com

Monday, August 11, 2008

PROGRAM MAJLIS PEGUAM DIREMPUH: SUATU TINDAKAN YANG ISLAMIK ?

Orang Islam (bukan agama Islam) di Malaysia khususnya mereka yang berpayung di bawah parti politik yang menggunakan nama Islam, ngo-ngo yang menggunakan nama Islam dan persatuan-persatuan yang menggunakan nama Islam (termasuk persatuan-persatuan mahasiswa Islam di universiti-universiti tempatan) cenderung untuk bersikap marah dan emosional yang melulu. Ini jelas kelihatan pada kejadian pada 9 Ogos 2008, hari Sabtu yang lepas. Lebih 300 orang Islam sebahagian besarnya tergabung di dalam parti politik, ngo dan persatuan-persatuan Islam telah bertindak menggunakan ugutan dan kekerasan untuk menghentikan program anjuran Majlis Peguam (Bar Council).

Terdapat beberapa soalan yang perlu kita ajukan sebelum kita merumuskan pandangan kita tentang kejadian ini. Tiga soalan yang paling pokok yang perlu kita tahu sebelum kita mengajukan soalan-soalan lain ialah satu, apakah sebenarnya tujuan program Majlis Peguam itu? Dua, apakah isi kandungan program itu? Dan tiga, adakah benar program itu bertujuan untuk membuat provokasi dan menghina Islam sepertimana yang diwar-warkan? Setelah kita menjawab soalan-soalan di atas, soalan-soalan berikutnya yang perlu kita tanya ialah adakah tindakan menggunakan ugutan dan kekerasan untuk menghentikan program seperti itu adalah tindakan yang selari dengan nilai-nilai Islam? Adakah terdapat mana-mana nas samada dari Al-Quran atau pun sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih yang menyokong tindakan kekerasan seperti itu?

Sebelum kita menjawab soalan-soalan di atas, PROMIS (Pergerakan Progresif Mahasiswa Islam) ingin menyatakan bahawa kami menyokong sepenuhnya kebebasan bersuara dan kebebasan berdemontrasi. Kebebasan bersuara dan kebebasan berdemontrasi adalah selari dengan nilai-nilai Islam yang demokratik yang menghormati kebebasan bersuara dan kebebasan berbeza pandangan. Nilai Islam yang demokratik ini juga selari dengan hak bersuara dan hak berhimpun yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kita dan juga di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kami di PROMIS berpandangan kebebasan bersuara dan kebebasan berdemontrasi tidak seharusnya dihalang dan disekat. Sesiapa sahaja yang ingin bersuara dan berdemontrasi, perlulah diberi ruang sedemokratiknya untuk menyuarakan pandangan atau berdemontrasi tanpa perlu ditakut-takutkan oleh mereka yang mempunyai kuasa.

Pendirian kami ini juga membawa maksud bahawa kami menyokong sepenuhnya tindakan parti politik, ngo-ngo dan persatuan-persatuan Islam yang berkumpul dan berdemontrasi di hadapan bangunan Majlis Peguam untuk menyatakan bantahan mereka terhadap program yang dikatakan menghina agama Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam itu. Tetapi persoalan yang lebih penting untuk kita tanyakan di sini ialah adakah tindakan kekerasan merempuh masuk ke dalam program tersebut, mengeluarkan kata-kata kesat, mengugut dan menuntut supaya program tersebut dihentikan adalah suatu tindakan yang demokratik, wajar dan Islamik? Untuk menjawab soalan ini kita perlu tahu dahulu apakah tujuan program ini dan apakah isi kandungannya.

Kalau ditanya kepada semua mereka yang berkumpul dan berdemontrasi itu, kami yakin rata-ratanya tidak tahu tujuan sebenar program Majlis Peguam tersebut diadakan. Rata-ratanya mereka menganggap program itu bertujuan untuk membuat provokasi dan menghina agama Islam. Adakah ini benar? Atau pun ia hanya andaian semata-mata ? Dari mana andaian ini muncul? Dari media yang dikuasai pemerintah? Atau dari pemimpin-pemimpin politik, ngo dan persatuan Islam yang menggunakan nama agama Islam untuk meraih sokongan? Bagaimanakah mereka yang berhimpun di hadapan bangunan Majlis Peguam tersebut dan pemimpin-pemimpin politik, ngo dan persatuan Islam ini tahu dengan pasti bahawa program tersebut bertujuan untuk menghina dan memprovokasi agama Islam, kalau mereka sendiri tidak hadir di program tersebut untuk mendengar dan melihat sendiri perjalanan program tersebut?

Adakah tindakan kekerasan menggunakan ugutan untuk menghentikan program tersebut tanpa mengetahui terlebih dahulu isi kandungan program tersebut merupakan suatu tindakan yang selari dengan nilai-nilai Islam? Adakah Islam menganjurkan kita untuk bertindak dahulu sebelum kita mendapatkan bukti yang sebenar? Tidakkah tindakan menghentikan program tersebut tanpa mendapatkan bukti yang jelas, adalah tindakan yang sama seperti ISA dan USA? Tangkap dahulu tanpa perlu ada bukti – itu ISA. Serang dahulu Iraq tanpa perlu ada bukti – itu USA dan dalam kes ini hentikan program tersebut dahulu tanpa perlu ada bukti – itu tidak Islamik!

Bagaimana untuk mendapatkan bukti sahih tentang inti program tersebut? Tidak ada jalan lain kecuali kita sendiri wajib hadir, dengar dan lihat sendiri perjalanan program itu. Hanya selepas kita hadir, dengar dan lihat barulah kita boleh membuat keputusan samada program tersebut bertujuan menghina Islam atau tidak. Selagi kita tidak hadir, tidak dengar dan tidak lihat, apa jua pandangan kita terhadap program itu hanyalah berupa andaian semata-mata. Adakah Islam menganjurkan umatnya untuk menjatuhkan hukuman berdasarkan andaian semata-mata?

Yang pasti peserta-peserta demontrasi tersebut telah menjatuhkan hukuman terlebih dahulu dengan cara ugutan dan kekerasan menuntut program itu dihentikan tanpa ada bukti yang sahih yang menunjukkan bahawa program tersebut adalah menghina Islam. Justeru itu, kami di PROMIS menegaskan bahawa sebelum sesuatu tindakan itu diambil, kita wajib mengetahui dengan jelas letak duduk perkara yang sebenar terlebih dahulu. Tindakan melulu yang dilakukan tanpa mendapatkan bukti-bukti yang sahih terlebih dahulu adalah tindakan yang sangat tidak Islamik dan bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang telus, saksama dan adil. Oleh kerana itu PROMIS berpendirian tindakan ugutan dan kekerasan yang dilakukan untuk menghentikan program Majlis Peguam tersebut adalah suatu tindakan yang tidak demokratik dan melanggar prinsip-prinsip kemanusiaan, kesaksamaan, ketelusan dan keadilan yang dijunjung tinggi oleh agama Islam yang mulia dan suci.

Yang nyatanya, bagi sesiapa yang hadir sendiri ke program Majlis Peguam tersebut akan dapat mendengar dan melihat sendiri bahawa program tersebut bukanlah bertujuan untuk membuat provokasi atau menghina Islam. Ia merupakan suatu program perbincangan dan dialog antara orang Islam dan bukan Islam berhubung dengan konflik undang-undang yang timbul hasil dari tafsiran yang berbeza-beza terhadap perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan di dalam perundangan Islam sendiri terdapat pelbagai khilaf ulamak, inikan pula perlembagaan Malaysia yang tentunya juga terdapat pelbagai tafsiran yang berbeza-beza. Tafsiran yang berbeza ini perlu dirundingkan, dibincangkan dan didialogkan supaya suatu rumusan yang adil dan saksama dapat dicapai untuk seluruh warga Malaysia tidak kira Islam atau bukan Islam. Bukankan pencarian kebenaran, kesaksamaan dan keadilan melalui proses dialog, perbincangan dan rundingan itu adalah intipati ajaran Islam? Jika kita bersetuju ianya adalah intipati ajaran Islam kenapa parti politik, ngo-ngo dan persatuan-persatuan Islam ini menghalang proses itu dari berlaku?

Untuk mengatakan program itu hanya dihadiri oleh orang bukan Islam dan pembicaranya hanya mewakili pihak bukan Islam, ini merupakan kesalahan yang sangat-sangat nyata yang berdasarkan prejudis dan buruk sangka. Di dalam program tersebut pembicaranya bukan sahaja dari pihak bukan Islam, tetapi dari pihak Islam juga turut dijemput. Antara pembicara dari pihak Islam yang dijemput ialah Pegawai Pendakwaraya Mahkamah Syariah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dr. Muhammad Naim Mukhtar, Pengarah Pusat Undang-undang Syariah dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam (IKIM), Dr. Wan Azha Wan Ahmad dan Peguam Syarie yang mewakili Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di dalam salah satu kes penukaran agama, En. Muhammad Haniff Khatri Abdullah.

Namun begitu dua pembicara dari JAWI dan IKIM menarik diri di saat-saat akhir. Tetapi peguam Syarie, En. Muhammad Haniff Khatri yang mewakili JAWI dalam kes penukaran agama telah hadir dan terlibat di dalam sesi dialog dan perbincangan dengan pembicara dari pihak bukan Islam di dalam suasana yang penuh sopan, tertib dan bertamadun sehinggalah beberapa orang peserta demontrasi termasuklah salah seorang pemimpin parti politik dari PKR, En. Zulkifli Nordin (Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu) merempuh masuk ke dalam program tersebut. Terdapat beberapa peserta yang merempuh masuk itu menjerit-jerit, mengeluarkan kata-kata kesat berunsur perkauman dan mengugut pihak penganjur menghentikan program itu segera.

Tindakan kekerasan dan ugutan ini akhirnya telah memaksa pihak penganjur untuk menghentikan sesi perbincangan dan dialog yang diadakan di dalam suasana yang tergantung tanpa ada sebarang penyelesaian atau rumusan di dalam usaha untuk mencari keadilan di dalam menangani konflik yang muncul hasil daripada tafsiran yang berbeza terhadap perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan ini. Salah seorang peserta forum tersebut Professor Dr. Mehrun Siraj, seorang Pensyarah Undang-undang dari UIA di dalam kenyataannya di salah sebuah laman portal web merasa sangat-sangat kesal dengan tindakan biadab dan memalukan agama Islam yang ditunjukkan oleh mereka yang merempuh masuk ke dalam program tersebut dan memaksa supaya program tersebut dihentikan.

Jadi jelasnya di sini, program tersebut langsung tidak bertujuan untuk membuat provokasi dan menghina Islam, sebaliknya ia dibuat untuk mencari keadilan melalui proses dialog dan perbincangan antara pihak Islam dan pihak bukan Islam. Malangnya program yang baik ini telah dihentikan secara kekerasan dan tidak demokratik oleh orang-orang Islam yang telah menconteng wajah Islam sebagai agama yang marah bukan ramah!

Islam yang marah sepertimana yang ditunjukkan oleh mereka yang merempuh masuk ke dalam program Majlis Peguam dan menggunakan kata-kata kesat, kekerasan, pemaksaan dan ugutan untuk menghentikan program tersebut bukanlah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada sebarang nas baik dari Al-Quran yang suci mahu pun sunnah Rasullullah s.aw. yang menyuruh umat Islam menghentikan secara kekerasan dan ugutan program yang bertujuan untuk mencari keadilan untuk warga masyarakat melalui proses perbincangan, dialog dan rundingan.

Malahan jika kita tinjau dari keperibadian Nabi Muhammad s.a.w sendiri, beliau adalah insan yang pemurah, baik hati, penuh toleransi, berhemah di dalam tutur kata, sopan di dalam berbicara, santun tingkahlaku, sangat menghormati, pengasih, pemaaf dan penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan. Malahan sewaktu beliau di Thaif ketika beliau menyampaikan pesan-pesan Allah, beliau telah dicerca, dicaci, dilempar batu hingga beliau luka malahan turut dilempar najis unta tetapi tingkahlaku kaum musyrik di Thaif ini tidak sedikit pun mengundang perasaan marah beliau. Malahan ketika malaikat menawarkan bala kehancuran untuk diturunkan ke atas masyarakat Thaif, Nabi Muhammad s.a.w. dengan penuh nilai kemanusiaan menolak tawaran tersebut malahan beliau berkata yang beliau akan terus mendoakan agar Allah s.w.t menunjukkan jalan kebenaran kepada masyarakat Thaif tersebut. Tetapi sayangnya contoh-contoh sifat mulia dan terpuji yang menjadi keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. itu tidak langsung dicontohi oleh mereka yang menggunakan kekerasan dan ugutan untuk menghentikan program Majlis Peguam tersebut.

Justeru itu Pergerakan Progresif Mahasiswa Islam (PROMIS) ingin menegaskan bahawa kami menghormati tindakan parti politik, ngo-ngo dan persatuan-persatuan yang menggunakan nama Islam yang berhimpun dan berdemontrasi membantah program yang dianjurkan oleh Majlis Peguam pada hari Sabtu 9 Ogos 2008 yang lepas tetapi kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka merempuh masuk ke dalam program tersebut dan menggunakan kata-kata kesat yang berbaur perkauman, mengugut pihak penganjur dan memaksa secara kekerasan pihak penganjur menghentikan program tersebut. Tindakan menggunakan kata-kata kesat, kekerasan dan ugutan untuk menghentikan program perbincangan dan dialog seperti itu adalah tindakan yang tidak Islamik, tidak demokratik malahan menyalahi prinsip-prinsip Islam yang menjunjung tinggi proses mencari keadilan di dalam masyarakat.

Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menjatuhkan hukuman terhadap sesuatu program yang dijalankan hanya melalui andaian semata-mata tanpa kita sendiri tahu dengan pasti letak duduk perkara yang sebenar. Sepatutnya pihak yang berdemontrasi tidak bertindak menghentikan program tersebut, sebaliknya mereka perlu menghadiri terlebih dahulu program perbincangan dan dialog tersebut dan jika mereka tidak bersetuju dengan mana-mana pandangan, mereka boleh menggunakan kesempatan tersebut untuk menyatakan pandangan mereka. Prinsip-prinsip Islam dan demokrasi menekankan bahawa perbezaan pandangan haruslah ditangani melalui perbincangan, dialog dan rundingan secara berhemah dan sopan bukan dengan cara pemberhentian perbincangan melalui kekerasan dan pemaksaan.

Marilah kita bersama-sama mendirikan Islam yang rasional bukan yang emosional. Membangunkan Islam yang ramah bukan yang marah. Bukti bahawa Islam itu adalah agama perdamaian dan bukan agama keganasan terletak sepenuhnya pada tingkahlaku kita sebagai penganut agama Islam. Tidak ada jalan lain untuk memperlihatkan wajah Islam yang damai, rasional dan ramah kecuali dengan mencontohi sifat, tingkahlaku dan keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. yang sopan tutur katanya dan santun tingkahlakunya. Jika kita mahu Islam dilihat sebagai agama perdamaian bukan agama keganasan, maka jadilah penganut Islam yang peramah bukan yang pemarah!


Email: progresif_islam@yahoo.com
Blog: http://www.progresifislam.blogspot.com/